Pereka automotif sentiasa berusaha mencari idea yang berbeza dan lain dari lain bagi menampilkan pembaharuan. Kadangkala mereka berfikir di luar kotak dan berjaya mencipta sebuah 'mahakarya agung'. Namun, mereka juga manusia biasa yang sesekali melakukan kesilapan. 

Terdapat rekaan kereta yang kurang menarik dan layak menerima jelingan tajam. Kami ingin berkongsi 5 model kereta yang paling kelakar di mata kami. Ingat, nilai estetika menjadi ukuran. Oleh itu, meskipun sesetengah model di bawah bagus dari segi prestasi atau pun laris dijual, ia masih tersenarai.

1. Proton Juara



Tahun keluaran: 2001–2003

Kami mulakan dengan model keluaran tempatan, Proton Juara yang kelihatan seperti sebuah 'kotak bergerak'. Proton Juara merupakan model MPV yang ringkas dan kecil berasaskan Mitsubishi Town Box. Sepanjang 3 tahun tempoh pengeluaran, ia mencatat jualan model Proton yang paling rendah setakat ini.

Proton Juara juga merupakan model pertama Proton yang mempunyai stereng kuasa elektrik. Namun, kualitinya dikatakan tidak memuaskan dan gagal meraih perhatian pembeli sejak dilancarkan. Apa-apa pun, ia masih tetap nampak comel di mata kami. Siapa tidak bangga dengan kereta buatan tempatan bukan?

2. Fiat Multipla


Tahun keluaran: 1998–2010

Pengeluar kereta Itali, Fiat dikenali dengan rekaan kereta yang cukup bergaya dan bercitarasa tinggi. Namun, Fiat Multipla yang dihasilkan pada era Berlusconi membuatkan peminat jenama terkemuka itu menjadi bingung. Reka bentuk model ini terlalu besar, manakala ruang butnya pula terlalu sempit. Ia kelihatan seperti dibuat dari plastik lembut dan dipam dengan udara.

Fiat Multipla tidak ubah bagaikan sebuah 'raksasa pelik yang mempunyai dagu berlapis'. Tidak cukup dengan itu, mentol lampu bersepadu yang direka menambahkan lagi kejelikan kenderaan ini. Menerusi rancangan Top Gear, selebriti Simon Cowell berkata ianya nampak seolah-olah 'berpenyakit'.

Bahkan, Fiat Multipla tidak mempunyai sebarang klasifikasi, hanya selalu dirujuk sebagai kereta 6 tempat duduk atau MPV. Semasa majlis pelancaran model ini, seseorang telah bertanya sesuatu kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fiat ketika itu. Soalan tersebut berbunyi seperti "Adakah pereka bentuk model ini merupakan seorang yang buta?". Sejak itu, si penyoal tidak lagi dijemput untuk sebarang acara anjuran Fiat.

3. Nissan Cube



Tahun keluaran: 2009–2014

Di Jepun, kereta ganjil berbentuk kiub ini diterima baik. Di Amerika Syarikat, Nissan Cube memecah tradisi sebagai perintis reka bentuk yang satu seumpamanya. Malangnya, ia hanya mampu bertahan selama 6 tahun. Ini berikutan hasil jualan yang tidak sampai 1,000 unit dari tahun 2011 hingga 2014.

Model ini merupakan percubaan ketiga, dengan percubaan pertama dan kedua hanya dijual di pasaran Jepun sahaja. Meskipun seperti kotak, perekanya cuba untuk menyuntik elemen gaya yang tersendiri. Tingkap belakangnya asimetrik pada sebelah kiri. Usaha itu patut dipuji. Namun, ia masih tidak cukup untuk menghilangkan bentuknya yang seperti Lego.



Malah, bahagian belakangnya yang tidak simetri juga nampak cukup menjengkelkan. Pendek kata, Nissan Cube boleh dikatakan diakui oleh seluruh dunia sebagai antara kereta terburuk yang pernah dihasilkan.

4. Tata Magic Iris


Tahun keluaran: 2010-kini

Namanya sudah sedap didengar. Apabila melihat reka bentuknya, anda pasti berpaling tadah. Model dari India ini menggantikan Tata Nano. Tata Magic Iris memasuki pasaran sebagai sebuah mikrovan yang mempunyai 3 pintu dan 4 hingga 5 tempat duduk. Ia kelihatan tak ubah seperti barang mainan.

Bandar India sememangnya terkenal dengan jalan-jalan yang sempit. Oleh itu, model bersaiz kecil ini merupakan suatu rekaan tepat seperti beca auto yang sedia ada. Pasaran khusus Tata Magic Iris juga menggalakkan penggunaan kereta di kalangan penduduk India, yang rata-ratanya gemar menunggang motorsikal.

Dari segi rupa bentuk, Tata Magic Iris dilihat tidak seimbang. Tanpa simetri yang sempurna, ia nampak pelik dan serba tak kena. Minivan paling murah di dunia ini dikilangkan berdasarkan asas yang sama dengan subkompak Tata Nano. Malah, kebanyakan badan model ini terpaksa dipasang pada sebuah platform kecil.

5. Nissan S-Cargo



Tahun keluaran: 1989-1991

Terakhir dalam senarai kami ialah Nissan S Cargo yang tak ubah macam sebuah kereta kartun. Van retro yang kecil dan eksklusif dari Jepun ini telah bertahan sebagai sebuah van komersial, dari tahun 1989 hingga 1992. Reka bentuknya yang unik diinspirasikan dari van penghantaran Citroën 2CV Fourgonnette, yang digelar 'siput'.

Dengan jumlah kira-kira 8000 buah unit, Nissan S-Cargo agak jarang ditemui di jalan raya. Ia mempunyai dua pilihan tambahan, iaitu dua tingkap berbentuk bulat pada setiap panel sampingan dan bumbung matahari kanvas elektrik. Ia juga merupakan satu-satunya kenderaan di muka bumi yang 'bongkok' ke hadapan. Bingkai pintu dan bahagian belakangnya juga sedikit condong.

Motif sebenar Nissan mencipta kereta serba aneh ini masih tidak diketahui. Mungkin pasukan reka bentuk model ini merupakan peminat fanatik kereta di Toon Town menerusi filem "Who Framed Roger Rabbit" (1988). Tidak cukup kelakar? Nama S-Cargo bermaksud 'kargo kecil'. Sebutannya berbunyi seperti "escargot", iaitu siput dalam bahasa Perancis. Secara dasarnya, Nissan memang berniat untuk mencipta sebuah 'kereta siput'.